Gabung Tenaga Bantu Graduan

PUTRAJAYA: Presiden Alumni Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Razmin Ramli menjelaskan persatuan sukan kebangsaan dan badan korporat perlu memainkan peranan penting dalam usaha menjamin masa depan lebih cerah buat ‘graduan’ sekolah sukan.

Beliau berkata, persatuan sukan yang lain perlu mengikut jejak persatuan yang berjaya menganjurkan liga sendiri seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

“Semua kena mainkan peranan dalam memastikan ada kesinambungan positif seperti sukan popular – bola sepak, badminton, hoki dan takraw – yang sudah ada liga sendiri.

“Pada saya, kreativiti atau inisiatif daripada persatuan sukan yang kita anggap belum ada liga ini mungkin boleh menggunakan mekanisma sama seperti FAM, PSM dan MHC.

“Kalau nak ada liga sudah pasti membabitkan kos dan dana. Jadi, di sini persatuan sukan juga perlu bekerjasama dengan badan korporat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Razmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan eksklusif Sukan NSTP mengenai dakwaan ramai pelajar sekolah sukan ‘hilang arah’ selepas menamatkan pengajian.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menjelaskan pihaknya sedia mengkaji bentuk penambahbaikan yang boleh dilakukan selain akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Razmin berkata pihaknya mengalu-alukan apa saja bentuk penambahbaikan yang bakal diputuskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sebarang bentuk penambahbaikan yang akan dibuat belum didedahkan, sebab perlu ada perbincangan lebih lanjut daripada pihak kementerian.

“Cuma saya sebagai Presiden Alumni SSBJ berpendapat apa saja perkara yang mendatangkan kebaikan untuk sekolah dan bekas pelajar, kami sambut baik,” katanya.

Leave a Comment