Kaunseling Famili Daif

Taiping: Jiran dan penduduk Kampung Paya Baru, Kamunting, di sini, berharap pihak berwajib dapat memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga bayi berusia enam bulan yang meninggal dunia pagi Isnin lalu dipercayai didera.

Bayi kepada pasangan muda berusia 19 dan 21 tahun itu disahkan meninggal dunia jam 7.30 pagi, ketika dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.

Seorang jiran yang enggan dikenali berharap, pihak berwajib dapat membantu keluarga terbabit kerana keadaan mereka agak daif.

Katanya, lebih penting ialah kebajikan dan keselamatan seorang lagi anak perempuan pasangan muda terbabit yang berusia 18 bulan.

“Harap pihak berkuasa dapat membantu keluarga ini dalam memberi bantuan sewajarnya termasuk kaunseling,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut seorang lagi penduduk, pihaknya tidak syak bayi terbabit didera kerana tidak mendengar tangisan atau sesuatu yang mencurigakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak sudah dihantar untuk menjalankan siasatan mengenai kes berkenaan semalam.

“JKM Perak mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes kematian bayi perempuan yang dikatakan mengalami sawan dan terjatuh dari buaian.

“Pegawai JKM akan membuat siasatan dan mengambil tindakan lanjut yang diperlukan termasuk kaunseling, kebajikan dan keselamatan seorang lagi anak perempuan pasangan terbabit yang berusia 18 bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:37 AM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *