Kuala Lumpur: Sikap terlalu memilih pekerjaan untuk hanya berkhidmat dengan syarikat besar dan tidak mahu bekerja di bawah cuaca panas menyebabkan segelintir graduan gagal mendapatkan pekerjaan.
Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail berkata, ada juga graduan memberi alasan tidak boleh berjauhan dengan keluarga atau tempat bekerja itu jauh jika ditawarkan pekerjaan di luar negeri asal mereka.
Menurutnya, perkara itu sangat mengecewakan apabila pihaknya menawarkan lebih 10,000 pekerjaan daripada pelbagai syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada satu-satu masa.
“Sikap ini perlu dikikis kerana jika seseorang graduan gagal mendapatkan pekerjaan biarpun sudah berpuluh kali ditemu duga, mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka.
“Ada juga sikap graduan yang saya anggap tidak bertanggungjawab apabila tidak hadir pada hari melapor diri di syarikat yang sudah menawarkannya pekerjaan.
“Perkara ini amat mendukacitakan kerana peluang yang diberikan syarikat atau organisasi itu tentu saja boleh mengubah kehidupan graduan dan keluarganya jika mereka lebih bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Selatan di sini.
Sehingga kini, seramai 126,000 graduan di seluruh negara dibantu menerusi SL1M untuk diberi bimbingan sebelum diambil ke sektor pekerjaan.
Sempena Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Selatan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 26 dan 27 Ogos ini sebanyak 15,000 kekosongan jawatan ditawarkan kepada orang ramai bermula dari kelulusan paling rendah sehinggalah berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD).
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program berkenaan antaranya penampilan istimewa, sesi motivasi dan berhibur bersama selebriti seperti Faizal Tahir serta kumpulan Zero yang berada di MITC untuk kedua-dua hari.
Sementara itu, Norashikin turut menyeru semua pihak khususnya syarikat swasta untuk terbabit sama dalam membantu graduan tempatan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka seraya memperbaiki taraf ekonomi mereka dan keluarga.
“Selain itu, bermula 1 Ogos lalu, Kementerian Kewangan sudah mengeluarkan surat pekeliling bahawa setiap syarikat yang mahu atau membida tender untuk projek kerajaan perlu mengambil pelatih SL1M.
“Itu adalah syarat wajib yang dikenakan kerana selama ini banyak syarikat yang mendapat tender projek kerajaan masih berasa teragak-agak untuk mengambil bahagian dalam SL1M,” katanya.